Thursday, April 30, 2009

Bakar ayam versi BA

Nyam-nyam-nyam... kenapa ayam ni tawar? Ini bukan salah ana yang perap ayam ni, ini salah sos yang tak nak masuk dalam ayam ni. Kah-kah-kah. Seronok rasanya buat program-program santai macam ni. Ini adalah antara modul realiti untuk mengikat ukhuwwah sesama ahli jemaah, terutama yang baru mula melangkah hidup secara berjemaah.Ukhuwwah tidak akan terbina dengan makan bersama, tetapi ia lebih berkesan apabila kita bekerja bersama-sama. kerana disitulah ada kepahitan dan kemanisan yang sukar dilupakan. satu titik itulah yang bakal mengikat ukhuwwah antara kita, insyaAllah. Ayuh muslimin, bakarlah ayam-ayam itu...












Hmm... bila bersama macam ni, baru kita kenal siapa sahabat-sahabat kita. Ada yang lucu, ada yang pendiam, ada yang pemalu, ada juga yang muka tak malu. Apapun karekter-karekter antum, antum tetap sahabat saya.

Read More......

Wednesday, April 29, 2009

Kerinduan pada Sg. Congkak

Pantang ada kereta, ada saja program-program yang tidak dirancang tiba-tiba terlaksana. Mungkin ini tabiat kaum lelaki kot, suka sangat pergi jalan-jalan, bergembira, berseronok dan melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan tensyen. 2 minggu lepas, atas sebab sudah lama tidak mengikuti program-program jemaah, kami warga BA tiba-tiba terasa rindu untuk berendam didalam air bersih yang sejuk. Setelah beberapa minit berbincang dengan sahabat2 disini, maka satu keputusan diambil. "Jom kita pergi ke sg. congkak".

tersenyum sendirian saya apabila melihat kembali gambar-gambar yang diambil waktu itu. Perangai keanak-anakan yang belum baligh terbongkar dalam diri masing2, daripada yang paling tua (umur 25) sehinggalah yang paling muda (umur 23). Sekali imbas memang belum baligh lagi.




Tetapi inilah kenangan yang sentiasa mengingatkan kita kepada ukhuwwah. Inilah kemanisan hidup dalam jemaah. Walaupun sekian lama habis belajar, tetapi ukhuwwah yang dibina dalam tamrin-tamrin, ukhuwwah yang secara tidak sengaja terterap dalam gerak kerja selama ini terpancar kembali.

Ukhuwwah yang terbina tidak akan sama sekali luput sehinggalah kita dengan sengaja meluputinya.

Read More......

Tuesday, April 28, 2009

Awak sudi jadi isteri kedua saya

sedang asyik dan penuh minat meniti laman-laman blog sahabat-sahabat, tiba-tiba terjumpa satu cerpen yang terlalu menyentuh hati dan perasaan saya. Meremang bulu tengkuk saya apabila membaca cerpen tersebut. Termenung sejenak, saya cuba mencari-cari dimanakah diri saya yang sebenarnya dalam perjuangan ini. Disini saya sertakan petikan cerpen itu untuk bacaan sahabat-sahabat, mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar dan pedoman dalam menempuh kehidupan yang semestinya lebih mencabar lagi...



“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… ” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya…”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?”suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yangmembawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.

“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.

“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.

“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,”luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.


“Perjuangan, ” jawab Fikri.

Read More......

Monday, April 27, 2009

Selamat berprogram adik-adik

Alhamdulillah hari ini adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh para nuqaba' gerakan islam, bagi yang bawa usrah je, walaupun saya tidak membawa usrah untuk adik-adik, saya pun turut merasakan kegembiraan ini.

Akan tetapi ini bukanlah jaminan, tetapi ini adalah merupakan satu permulaan kepada suatu harapan yang akan sama-sama kita nantikan sedikit masa lagi. Setiap kali program-program seperti ini diadakan, tidak pernah saya menjamin akan prestasi adik-adik baru dalam membawa agenda islam dalam platform gerakan, tetapi saya selalu memberikan harapan.

Hipotesis dan inferens masih tidak boleh saya berikan kerana punca kegagalan ahli jemaah dalam memberikan komitmen dalam perjuangan ini masih belum jelas dimata. Ramai antara ahli jemaah yang menyalahkan tarbiyyah yang tidak berkerja sebaik mungkin, ada juga yang menyalahkan siasah kerana gerak kerja yang tidak terfokus sehingga mengabaikan tarbiyyah.

Bagi saya, kita masih belum faham sepenuhnya apa itu tarbiyyah, termasuklah saya sendiri, kerana tarbiyyah bukanlah core business saya, begitu juga siasah. Tetapi saya cuba untuk merge-kan antara tarbiyyah dan siasah agar ia menjadi satu templet untuk membentuk seorang pekerja kepada jemaah.

Jika ditanya, apa matlamat sebenar tarbiyyah yang ingin dicapai dalam gerakan kita disini? Saya semdiri pun kaget untuk menjawabnya ini kerana saya masih lagi tidak tahu apa halatuju tarbiyyah yang disusun selama ini.

Dalam kuliah Abi, pernah Abi menyebut akan elemen-elemen tarbiyyah yang tidak dapat tidak perlu diterapkan dalam diri seorang pejuang haraki;
1. Fikri
2. Ruhi
3. Jasadi
4. Nafsi
Jika inilah elemen penting yang perlu ada dalam diri seseorang individu muslim yang berada pada level pejuang haraki, maka inilah yang patut diterapkan oleh pimpinan kepada ahli-ahli mereka.

Perlu diingat, elemen-elemen ini adalah elemen terpenting dalam membentuk tarbiyyah dan sakhsiyyah individu muslim, maka ianya tidak boleh diterapkan secara cumulative dalam satu program tamrin sahaja.

Maksud saya, program-program tamrin perlulah dibuat secara berperingkat yang didahului oleh tamrin yang melibatkat fikri (fikrah) sahaja. Ini kerana asas utama kepada gerakan kita adalah fikrah. Disinilah segala fikrah-fikrah haraki perlu diterapkan dan disematkan terlebih dahulu.

Kemudian ruhiyyah pula perlu menyusuli fikrah haraki yang telah terpasak kukuh bagi membentuk seorang sufi yang haraki. Seterusnya, tarbiyyah jasadi bagi menghiasai diri individu muslim itu agar sentiasa tahan lasak dalam menempuh liku-liku perjuangan yang semestinya tidak sunyi daripada ujian, mehnah dan trebulasi. Tarbiyyah jasadi bukanlah hanya tamrin yang diistilahkan sebagai 'tamrin keras' yang selalu ditakuti oleh ahli-ahli jemaah yang lemah dari sudut fikrahnya.

Ini adalah beberapa kesimpulan yang saya buat berdasarkan 4 tarkis tarbiyyah yang selalu Abi ulang apabila berbincang mengenai tarbiyyah dengannya.

Read More......

Saturday, April 25, 2009

Gomo Kelate Gomo

KECEWA rasanya apabila kelantan berjaya dikalahkan oleh Selangor dalam perlawanan akhir piala FA semalam. Geram saya masih belum habis lagi kerana perlawanan yang berlangsung lebih kurang 90 minit itu terlalu bias kepada Selangor.

Kalau ikutkan hati ni, dah lama aku lastik refree dan lines man yang bertugas masa tu kerana geram punya pasal. Sepanjang perlawanan, ada saja Kelantan yang melakukan foult (kesalahan).

Perkara pertama saya paling sakit hati sekali apabila pemain kelantan yang dijatuhkan oleh pemain selangor dalam kotak penalti dibuat-buat tak nampak oleh refree. Sepatutnya pasukan kelantan dah dapat sepakan penalti dan merupakan satu peluang cerah untuk menjaringkan gol pertama.

Perkara kedua pula apabila penjaga gol pasukan selangor menangkap bola keluar dari kotak penalti, juga refree dan lines man buat-buat tak nampak. Satu lagi peluang sepakan penalti yang sengaja tidak diberikan kepada pasukan Red Warrior (Kelantan). Dalam hati aku berdoa moga-moga Allah betul-betul men'tak nampakkan' penglihatan refree dan lines man tersebut.


Tiba-tiba para penyokong pasukan kelantan sama-sama mula naik angin dan menukar slogan Gomo Kelate Gomo kepada Ref Gilo sebanyak beberapa kali. Saya tak komen apa-apa dan kalau ref tu betul-betul jadi gila pun saya tak kisah sangat.

Perlawanan terus berlangsung, sehinggalah kelantan berjaya menjaringkan gol pertama dalam masa tambahan. Ingatkan piala FA dah jadi milik kelantan, tapi nasib tidak menyebelahi pasukan Kelantan apabila gawang gol kelantan berjaya dibolosi pihak lawan. Kedudukan seri sehinggalah perlawanan tamat.

Penalti, Kelantan kalah 3-0. Argh!!! bertambah kecewa. Habis RM15 saya gunakan untuk menonton kekalahan bola sepak. Tapi tahniah diucapkan kepada pasukan Kelantan kerana berjaya sampai ke peringkat final piala FA setelah bertahun-tahun menunggu untuk sampai ke peringkat ini. Gomo Kelate Gomo.




Read More......

Tuesday, April 21, 2009

Akhirnya... Cita Pemuda

Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh...
Alhamdulillah setelah 2 bulan lebih, akhirnya saya berjaya juga menyiapkan layout laman blog Cita Pemuda ini.

Sebagai pengenalan, blog ini adalah rentetan daripada blog yang sebelumnya, anamuslim.com yang boleh dikatakan hidup segan matipun takpe. Sebagai orang muda, kita semestinya mempunyai cita-cita yang tinggi dan tersendiri. Ada yang bercita-cita untuk menjadi polis, askar, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Itu memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia untuk mencapai kepada suatu tahap kejayaan bagi membaiki taraf kehidupan.

Ramai orang yang terlalu mengejar cita-cita dunia, tetapi jarang sekali yang berlumba-lumba untuk mengejar cita-cita akhirat yang mana Allah telah membentangkan seluas-luasnya jalan untuk menuju kepada cita-cita itu.

Sebagai orang muda, berdarah muda dan berjiwa muda, saya juga mempunyai cita-cita tersendiri. Cita-cita saya sebagai seorang anak, cita-cita saya sebagai seorang islam, cita-cita saya sebagai seorang lelaki, cita-cita saya sebagai seorang sahabat, cita-cita saya sebagai seorang pelajar dan sebagainya.

Alhamdulillah hari ini saya telah mencapai impian @ cita-cita saya untuk menyiapkan blog ini. Satu kesimpulan yang boleh dibuat disini, hati yang benar-benar mengimpikan sebuah cita-cita adalah kekuatan sebenar untuk mencapai sebuah cita-cita.

Read More......